Soalan Lazim
TOP 25 Soalan Lazim mengenai Pesuruhjaya Sumpah
1) Siapakah Pesuruhjaya Sumpah?
Pesuruhjaya Sumpah merupakan pegawai yang dilantik oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara di bawah Seksyen 11, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dalam mengesahkan ketulenan dokumen dan identiti deponen yang membuat pengakuan atas dokumen tersebut.
2) Apakah tugas sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah?
Mengikut Kaedah 11(2), Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018, seseorang Pesuruhjaya Sumpah haruslah menguruskan sendiri setiap transaksi dengan deponen yang hadir di depan untuk mendapatkan perkhidmatan.
11) (2) Semasa melaksanakan fungsinya, seseorang Pesuruhjaya Sumpah hendaklah melayan sendiri mana-mana orang yang menghendaki perkhidmatannya, dan hendaklah—
(a) menentusahkan identiti, butir-butir peribadi sebagaimana yang diberikan dalam kad pengenalan, pasport atau dokumen pengenalan rasmi lain dan alamat orang yang membuat akuan, ikrar, afidavit, sumpah atau pernyataan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah;
(b) membacakan dan menerangkan kandungan dokumen dan ekshibit yang dikepilkan bersama dokumen itu, jika deponen atau pembuat dokumen itu seorang yang buta, buta huruf atau tidak memahami bahasa yang tertulis dalam dokumen itu, sebelum Pesuruhjaya Sumpah itu memperakui bahawa dia telah berbuat sedemikian sebagaimana dalam jurat;
(c) menandatangani ringkas, mengecapkan cop meterai kecil dan memastikan deponen menandatangani ringkas apa-apa perubahan yang dibuat dalam dokumen yang hendak diberikan sumpah atau diikrarkan;
(d) tidak mengecapkan meterainya pada mana-mana dokumen melainkan jika deponen atau pembuat dokumen telah menandatangani atau mengecapkan cap jarinya pada dokumen itu di hadapannya;
(e) enggan memberikan perkhidmatannya apabila Pesuruhjaya Sumpah itu mempunyai sebab yang boleh dipercayai untuk mengesyaki bahawa mana-mana orang di hadapannya adalah terlibat dalam perdayaan, fraud, dures, atau apa-apa kelakuan lain yang menyalahi undang-undang;
(f) menjalankan semua fungsi jawatannya dengan segera, munasabah, cekap dan berintegriti; dan
(g) bersedia menjalankan semua fungsi jawatannya pada waktu yang tetap dan munasabah.
3) Apakah kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah.
Kuasa-kuasa ataupun tanggungjawab sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah haruslah berlandaskan dengan Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018 di mana syarat-syarat atau batasan dalam pelantikan adalah seperti berikut:-
- mengendalikan sumpah untuk-
- justifikasi jaminan;
- mengambil apa-apa afidavit atau ikrar;
- sumpah wasi dan pentadbir; dan
- sumpah mana-mana orang dalam apa-apa tindakan, perkara atau prosiding yang menunggu penyelesaian atau hampir hendak dimulakan dalam mana-mana mahkamah.
- mengambil dan menerima akuan berkanun.
4) Adakah Pesuruhjaya Sumpah boleh menjadi saksi dalam sesuatu perjanjian ataupun perkara?
Surat Arahan daripada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang bertarikh 3 November 2015 telahpun secara jelas melarang seseorang Pesuruhjaya Sumpah untuk menjadi saksi dalam apa-apa dokumen selain yang dibenarkan oleh undang-undang. Pada masa ini, Cuma lima (5) undang-undang yang membenarkan seseorang Pesuruhjaya Sumpah untuk menjadi saksi seperti di bawah:-
- Borang 1 dan 2 di bawah Seksyen 3 (Jadual Pertama) Akta Surat Kuasa Wakil 1949
- Perjanjian Pinjaman di bawah Seksyen 27(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
- Perjanjian di bawah Seksyen 22 Akta Sewa Beli 1967
- Seksyen 97 Ordinan Tanah Negeri Sabah
- Seksyen 84 Akta Profesion Undang-Undang 1976
5) Bolehkan seseorang Pesuruhjaya Sumpah mengakui sah dokumen?
Pesuruhjaya Sumpah boleh menerima akuan berkanun yang ditandatangani sendiri oleh pemilik dokumen di mana dia mengakui bahawa salinan dokumen yang itu adalah benar.
6) Di manakah Pesuruhjaya Sumpah boleh menjalankan perkhidmatannya?
Seseorang Pesuruhajaya Sumpah hanya boleh memberikan perkhidmatannya di alamat yang telah diluluskan oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan. Ia adalah dilarang untuk memberikan perkhidmatan di lokasi yang tidak bersesuaian seperti di bawah tangga, di bawah pokok, di tempat makan, atau tempat lain yang anggap tidak sesuai. Akan tetapi, sekiranya mempunyai kes-kes yang tidak boleh dihindari yang memerlukan perkhidmatan di luar premis seperti memberikan perkhidmatan di penjara atau hospital, maka ahli keluarga atau wakil deponen boleh mengemukakan permohonan kepada mana-mana Pesuruhjaya Sumpah. Permohonan tersebut seterusnya akan dimajukan oleh Pesuruhjaya Sumpah kepada Unit Pesuruhjaya Sumpah dengan syarat harus mendapat alasan yang amat kukuh daripada pihak deponen dan Permohonan tersebut haruslah dikemukan kepada Unit Pesuruhjaya Sumpah minimum 3 hari bekerja sebelum tarikh perkhidmatan luar tersebut.
7) Bolehkan Pesuruhjaya Sumpah mengenakan bayaran lebih kepada deponen sekirannya menjalankan tugasan luar? (Dengan syarat kelulusan daripada pihak Unit Pesuruhjaya Sumpah untuk menjalankan tugas di luar premis perkhidmatan)
Ya boleh. Sekiranya Pesuruhjaya Sumpah mengenakan bayaran tambahan kerana terpaksa meninggalkan pejabata dalam suatu masa selain perlu mengeluarkan kos pengakutan, ia perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu.
8) Bilakah waktu operasi kami?
Pesuruhjaya Sumpah kami beroperasi pada Isnin hingga Jumaat (10:00am – 5:00pm)
9) Adakah temu janji diperlukan sebelum melawat ke pejabat urusan kami?
Tidak perlu. Tetapi sekiranya anda ingin membuat temu janji, anda boleh menghubungi kami di +6011-5623 9585 (Whatsapp).
10) Berapa lama masa yang diperlukan untuk saya mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah?
Ia bergantung kepada bilangan dokumen yang harus disumpah, tetapi lazimnya ia cuma memerlukan masa 5 minit sehingga 10 minit.
11) Apa dokumen yang perlu dibawa oleh pelanggan semasa ingin mendapatkan perkhidmatan daripada Pesuruhjaya Sumpah?
ai) Untuk Warganegara Malaysia – Kad Pengenalan asal (Identification Card, I/C)
aii) Untuk Warga Asing : Kad Pengenalan/Paspot Asal/Kad UNHCR/Kad Pelarian Dokumen diri/Lain-lain dokumen rasmi pengenalan
b) Dokumen Asal yang perlu disumpah.
12) Adakah kawan saya boleh mewakili saya untuk mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah?
Tidak boleh. Setiap deponen yang ingin mendapatkan perkhidmatan Pesuruhajaya Sumpah dalam mengakusumpah dokumen harus hadir sendiri di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Pesuruhjaya Sumpah tidak dibenarkan untuk menurunkan tandatangan dan mengecap meterai atas dokumen selain deponen menurunkan tandatangan atau mengecapkan cap ibu jari pada dokumen di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.
13) Untuk akuan sumpah berkenaan dengan hartanah (Contoh: Borang DDA), bolehkah salah seorang daripada anggota-anggota ahli keluarga menjadi wakil kepada anggota-anggota ahli keluarga tersebut untuk membuat akuan sumpah?
Sekiranya sesuatu surat akuan perlu ditandatangani oleh banyak deponen, maka kesemua deponen perlu hadir ke hadapan Pesuruhjaya Sumpah tersebut dalam menandatangai surat tersebut.
14) Bolehkan seseorang yang mempunyai surat kuasa wakil (Power of Attorney) untuk mengikrarkan affidavit atau akaun berkanun mewakili seseorang penama?
Tidak boleh. Hanya deponen yang namanya ditulis dalam sesuatu akaun berkanun atau afidavit boleh menurun tandatangan di dokumen tersebut. Seseorang wakil yang mempunyai surat kuasa wakil adalah tidak dibenarkan menandatangni sesuatu akaun berkanun sekiranya dokumen tersebut bukan atas namanya.
15) Bolehkah 2 atau lebih deponen menandatangani akaun berkanun yang sama pada tarikh dan masa yang berbeza?
Tidak boleh. Sekiranya akaun berkanun tersebut yang terkandung 2 atau lebih deponen yang harus menandatangi dokumen tersebut, kesemua deponen harus hadir pada masa yang sama di hadapan Pesuruhjaya Sumpah untuk mengelakkan sebarang konflik yang mungkin akan berlaku pada masa depan disebabkan oleh ketidakhadiran mana-mana deponan pada tarikh dan masa yang sama.
16) Bolehkah orang yang pekak/buta/ buta huruf /bisu mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah?
Ya, boleh. Pesuruhjaya Sumpah harus memastikan deponen faham kandungan dalam dokumen tersebut dengan membaca dan menerangkan kandungan dokumen dan ekshibit yang dikepilkan bersama dokumen itu sebelum Pesuruhjaya Sumpah memperakui bahawa dia telah berbuat demikian sebagaimana dalam jurat. (Kaedah 11(2)(b) – Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018)
17) Bolehkan kanak-kanak mengangkat sumpah?
Ya boleh. Kanak-kanak tersebut haruslah hadir bersama dengan ibu bapa/penjaga/ahli keluarganya dan Pesuruhjaya Sumpah harus memastikan bahawa kanak-kanak tersebut benar-benar memahami dengan perkara yang akan diikrarkan. Sekiranya Pesuruhjaya Sumpah berpendapat bahawa ikrar tersebut adalah tidak memanfaatkan kanak-kanak tersebut, Pesuruhjaya Sumpah boleh menolak memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak tersebut berlandaskan dengan Kaedah 11(2)(e), Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018.
18) Bolehkah orang yang mempunyai gangguan mental mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah?
Sekiranya gangguan mental bukan secara berterusan, maka Pesuruhjaya Sumpah haruslah memastikan bahawa semasa deponen tersebut menandatangani dokemen tersebut, deponen itu haruslah berada dalam kaedaan yang waras ataupun siuman.
19)Adakah akaun berkanun ataupun dokumen lain yang disumpah oleh Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia boleh digunakan untuk kegunaan luar negara.
Secara asasnya, surat akaun yang disumpahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah adalah sekadar untuk kegunaan dalam negara Malaysia. Akan tetapi, ia tidak menghalang bagi negara lain untuk menerima dokumen tersebut yang disumpahkan oleh Pesuruhajaya Sumpah Malaysia tertakluk kepada undang-undang di negara tersebut.
20) Bolehkan Pesuruhjaya Sumpah menolak memberikan perkhidmatan kepada deponen?
Ya boleh. Seseorang Pesuruhjaya Sumpah berhak untuk menolak daripada memberi perkhidmatan kepada deponen sekiranya Pesuruhjaya Sumpah mempunyai sebab yang boleh dipercayai mengesyaki bahawa terdapat unsur-unsur perdayaan, fraud, dures, ataupun apa-apa kelakaun yang menyalahi undang-undang. (Kaedah 11(2)(e) – Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018)
21) Adakah surat akuan sumpah mempunyai tarikh luput?
Surat Akuan Sumpah tidak mempunyai apa-apa tarikh luput dan boleh digunakan pada bila-bila masa untuk dijadikan sebagai bukti kepada sesuatu perkara di dalam suatu tarikh tertentu. Oleh itu, tarikh surat akaun itu diikrarkan adalah material.
22) Bolehkah dokumen tanah Sabah ditandatangani di Semenanjung Malaysia?
Ya Boleh. Seksyen 97 Ordinan Tanah Negeri Sabah membenarkan Pesuruhjaya Sumpah untuk menandatangi dokumen berkaitan tanah negeri Sabah yang dibuat di bawah ordinen tersebut. Justeru semua Pesuruhjaya Sumpah dibenarkan untuk menandatangi dokumen berkaitan sekiranya Pesuruhjaya Sumpah yang dilantik adalah sedang memberi perkhidmatan di Semenanjung Malaysia.
23) Sekiranya borang akuan berkanun tidak memenuhi standard Borang AM 80, bolehkan Pesuruhjaya Sumpah memeterai atas dokumen tersebut?
Tidak boleh. Surat arahan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bertarikh 3 November 2015 secara jelas telah menerangkan bahawa sesuatu surat akaun berkanun hendaklah mengikut format Akta Akuan Berkanun 1960.
24) Bolehkah Pesuruhjaya sumpah di Negeri A mengikrarkan dokumen untuk kegunaan di Negeri B?
Ya boleh. Pesuruhjaya Sumpah yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan boleh mengikrarkan apa-apa dokumen yang dibenarkan oleh undang-undang Malaysia dan tertakluk kepada kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah termaktub di dalam Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018 (Kategori Mana-Mana Orang Lain)
25) Bolehkan Surat Akuan diisi menggunakan dua warna pen yang berbeza?
Ia adalah dinasihatkan supaya borang akaun diisi dalam warna dan jenis pen yang sama supaya ketulenan dan kandungan dokumen tersebut tidak diragui.